Malaysia MADANI mampu direalisasi jika anak muda terus aktif – PM Anwar
Perdana Menteri mahu aktiviti sukan dalam kalangan generasi muda dan komuniti di negara ini kembali “segar”
Berucap merasmikan Hari Sukan Negara 2023 di Dataran Putrajaya pada Sabtu, beliau berkata, matlamat negara Madani hanya dapat direalisasikan sekiranya rakyat khususnya anak muda diperkasakan bukan hanya menerusi bidang pekerjaan dan ekonomi sahaja, malah menerusi aspek kesihatan melalui bersukan.
Justeru beliau berkata tiga kementerian iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mewujudkan kerjasama rentas kementerian bagi menjayakan usaha itu.
“Saya minta jaringan antara KBS, KPM, KPT harus ada rangkaian yang lebih erat supaya kegiatan di sekolah, kegiatan di pusat pengajian tinggi, dan kegiatan antara masyarakat komuniti itu disegarkan.
“Madani ini hanya berkembang jika rakyat itu diperkasakan, bukan saja kerajaan diperkasakan, tetapi rakyat juga diperkasakan dalam pelbagai perkara… pekerjaan, ekonomi dan terutamanya, kesihatan,” katanya.
Anwar diiringi Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, turut melakukan pelepasan peserta acara larian dan berbasikal, yang diadakan sempena HSN 2023 itu.
Anwar dalam ucapannya turut meminta generasi muda bangkit mengharumkan nama negara melalui sukan, tanpa mengira perbezaan kaum dan budaya.
“Tak kira nama dia apa, asalkan dia anak muda Malaysia, berikan kemenangan hebat. Itu agenda kita,” katanya yang menerima tepukan gemuruh peserta HSN 2023.
Dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI, Anwar mengumumkan antaranya peruntukan RM72 juta tahun hadapan bagi memperkukuh ekosistem atlet acara podium dan pelaksanaan inisiatif Road to Gold, sebagai usaha menggapai pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik.
Sejumlah RM50 juta juga disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara, serta cadangan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000.
Sebagai rekod, Anwar pertama kali berada dalam kabinet adalah sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1983.