Penjawat awam wajar balas budi kerajaan dengan beri khidmat cemerlang
Penjawat awam digesa membalas budi kerajaan yang ‘menghadiahkan’ Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sebagai membalas budi kerajaan, penjawat awam perlu menunjukkan mereka mampu melakukan yang terbaik dan cemerlang untuk membantu kerajaan merealisasikan wawasan Malaysia Madani.
“Mereka (penjawat awam) akan menerima bayaran tersebut sebelum Ramadan. Ini melibatkan perbelanjaan yang sangat besar, tapi kerajaan sudi (memberi bayaran insentif) sebagai penghargaan kepada kakitangan awam.
“Maka saya percaya inilah masanya untuk kakitangan awam membalas budi kerajan dengan menunjukkan mereka mampu melakukan yang terbaik dan cemerlang untuk membantu kerajaan merealisasikan wawasan Malaysia Madani.
“Ini supaya kita bina semula negara, ini adalah semangat kita yang wajar kita dokong bersama,” katanya ketika ditemui media pada satu program di Teluk Intan pada Sabtu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat mengumumkan Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 57 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Bayaran itu akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak- anak serta persiapan menjelang Ramadan dan Syawal.
Jawatan utama sektor awam melibatkan semua termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform pula menerima RM1,000 manakala bayaran insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.