Semasa

Peruntukan RM58.7 bilion bakal dimanfaat sebaik mungkin – KPM

Peruntukan RM58.7 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuktikan aspek pendidikan terus menjadi keutamaan kerajaan.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, peruntukan itu yang merupakan terbesar diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lalu adalah bagi memastikan hasrat untuk membina Malaysia MADANI berdaya maju dan mampu bersaing di peringkat global tercapai.

“KPM menggalas amanah besar untuk memastikan peruntukan yang diberi dalam Belanjawan 2024 dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan memberi impak kepada pembangunan pendidikan negara,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan itu berkata pendidikan kekal sebagai komponen utama yang menerima peruntukan dalam perancangan belanjawan negara dengan KPM diperuntukan RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion pada tahun ini.

Selain bagi menaik taraf dan menyelenggara sekolah di seluruh negara, RM220 juta diperuntukkan bagi pembangunan dua institusi Pendidikan Islam baru termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol, Negeri Sembilan di bawah KPM

Belanjawan 2024 turut memberi perhatian kepada bantuan persekolahan murid seperti meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) kepada RM2,589 berbanding RM1,500 sebelum ini.

“Bagi memastikan anak-anak keluarga miskin tidak tercicir daripada pendidikan, pemberian bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) turut diperluaskan kepada murid hingga Tingkatan 3 berbanding hingga Tingkatan 1 sebelum ini yang memberi manfaat kepada satu juta murid dengan peruntukan RM150 juta,” menurut KPM.

Sementara itu menterinya, Fadhlina Sidek dalam satu laporan media berkata, peruntukan RM58.7 bilion kepada sektor pendidikan yang diumumkan itu disifatkan belanjawan yang mampu memartabatkan pendidikan manusiawi di negara ini.

“Alhamdulillah KPM masih lagi menjadi kementerian menerima peruntukan terbesar. Paling penting dalam konteks dasar adalah jelajah pendidikan masa depan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perlis 2023 di Kangar semalam.

Related Articles

Back to top button