ekonomi

Belanjawan 2024 jaga kesejahteraan segmen rentan – MIDF Research

Belanjawan 2024 berupaya menyediakan sokongan berterusan kepada rakyat dari segi menjaga kesejahteraan segmen rentan secara berterusan, kata sebuah badan penyelidikan.

MIDF Research melalui satu kenyataan berkata, sebanyak RM58.1 bilion akan disediakan untuk membiayai pelbagai bentuk subsidi, insentif dan bantuan di mana hampir 50 peratus akan diperuntukkan bagi mengawal harga barangan dan perkhidmatan.

“Untuk membiayai inisiatif ini, kerajaan berusaha untuk meningkatkan pendapatannya termasuk dengan meningkatkan cukai perkhidmatan kepada 8 peratus,” katanya MIDF Research..

Mengulas mengenai pasaran modal, MIDF Research mengalu-alukan pelaksanaan cukai keuntungan modal ke atas pelupusan saham tidak tersenarai seperti yang diumumkan dalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Belanjawan 2024.

MIDF Research percaya bahawa cukai tersebut boleh menarik lebih banyak penyenaraian di bursa tempatan kerana pengecualian akan diberikan mengikut kes bagi tawaran permulaan awam (IPO), penstrukturan semula dalaman korporat dan syarikat modal teroka.

“Selain itu, cadangan untuk mengecualikan pendapatan cukai ke atas pendapatan hasil jualan dan belian sekuriti Islam (ISSB) dari tahun penilaian 2024 boleh meningkatkan jumlah keseluruhan perdagangan sekuriti dan kecairan pasaran saham patuh syariah.

“Pada pandangan kami, langkah-langkah ini boleh menjadi pemangkin yang akan membantu menggiatkan semula pasaran modal tempatan,” jelasnya.

Selain MIDF, belanjawan diumum Jumaat lalu itu turut mendapat reaksi positif dari Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Amanah Investment Bank.

Datuk Dominic Silva dipetik laporan media berkata, Belanjawan 2024 dilihat sebagai titik permulaan dalam usaha merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani.

“Belanjawan 2024 merangkumi beberapa langkah penting untuk tahun fiskal yang akan datang dan bersifat inklusif, komprehensif, dan berwawasan

“Ia menyokong pelbagai inisiatif di bawah payung Ekonomi Madani seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya.

Related Articles

Back to top button