Semasa

KPT akan siasat dakwaan UM menaikkan yuran secara senyap-senyap, tegas Khaled Nordin

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil maklum dakwaan oleh Persatuan Mahasiswa Progresif Universiti Malaya (UM) bahawa pihak universiti itu menaikkan yuran perkhidmatan secara senyap-senyap.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan lengkap berhubung dakwaan dibuat oleh Persatuan Mahasiswa Progresif UM.

“Ya, ini semua perkara yang ada (berlaku) di universiti, benda- benda begini kadang-kadang universiti memang dia tak maklum atau merujuk kepada kementerian.

“Jadi itu yang kementerian kadang-kadang pun tak tahu, apa- apa pun kita akan menyiasat perkara ini,” katanya menurut Malaysiakini.

Presiden Persatuan Mahasiswa Progresif UM Nurul Afrina Rosli pada Sabtu menuntut penjelasan daripada pihak pentadbiran universiti itu yang didakwa menaikkan yuran perkhidmatan secara senyap tanpa sebarang notis dikeluarkan.

Dakwanya, yuran perkhidmatan dikenakan kepada pelajar baru sesi akademik 2023/2024 sebanyak RM360, dengan kenaikan sebanyak RM119 atau 49.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, kali terakhir yuran perkhidmatan dan servis dinaikkan dengan notis rasmi daripada Universiti Malaya adalah pada tahun 2018 apabila pentadbiran UM menaikkan yuran ICT daripada RM50 kepada RM100.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Khaled menyarankan semua universiti awam bersedia untuk mengemukakan permohonan bagi menerima peruntukan seperti yang diumum Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini.

Jelas Khaled, pihaknya perlu membuat tapisan teliti agar peruntukan yang diagih mendapat pulangan yang bermanfaat dan berimpak.

“Saya percaya dengan peruntukan itu dapat memastikan sektor pendidikan tinggi akan dapat terus memainkan peranan utamanya untuk menjayakan pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan untuk rakyat dan negara,” katanya.

Sebagai rekod, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini mengumumkan peningkatan peruntukan kepada RM16.3 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai sokongan kerajaan terhadap transformasi pengajian tinggi negara.

Related Articles

Back to top button