AnwarParlimen

Malaysia akan lakukan apa sahaja untuk hentikan kezaliman terhadap rakyat Palestin – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sudah tiba masanya untuk kerajaan Malaysia melakukan apa sahaja yang perlu untuk menamatkan kezaliman yang berlaku terhadap rakyat Palestin akibat peperangan dengan Israel.

Menurut Anwar, perbincangan dengan wakil-wakil negara yang terlibat telah menunjukkan keresahan yang sedang meluap dan jalan buntu kerana Israel diberikan sokongan penuh oleh Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Pada masa yang sama, Anwar turut menyatakan pendirian Malaysia untuk terus mengiktiraf Hamas dalam perbincangannya dengan Barat.

“Barat dan Eropah ambil sikap hipokrit mengizinkan kezaliman berterusan. Saya beritahu, kita ada hubungan dengan Hamas.

“Kita tidak bersetuju menekan. Hamas juga menang menerusi pilihanraya bebas,” kata Anwar dalam sesi penerangan mengenai perkembangan mutakhir krisis Israel-Palestin di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menegaskan keperluan negara-negara yang menyokong perjuangan Palestin untuk mengambil tindakan bersama agar rakyat di Gaza boleh diselamatkan.

“Dunia izinkan pembunuhan ramai-ramai. Sudah sampai ketika Malaysia bersama rakan buat apa saja yang perlu,” katanya.

Anwar juga menafikan dakwaan seolah-olah kerajaan enggan menghantar pasukan tentera ke Gaza.

“Ada di Malaysia juga yang menyatakan suara bahawa kita enggan menghantarkan pasukan tentera.

“Kepimpinan tentera minta saya sampaikan adalah tidak adil untuk mana-mana kalangan, dalam penyampaian mesej mereka dalam tazkirah mereka untuk menyinggung hal ini.

“Ini bukan keputusan mudah untuk menghantar tentera termasuk pendamai atau pengaman, ataupun koridor kemanusiaan itu mesti disepakati oleh negara jiran. Kalau tidak pesawat kita tidak boleh mendarat.

“Jadi saya minta supaya ada kefahaman, jangan dikelirukan rakyat. Kalau diperlukan (untuk hantar), dikatakan perlu kita sepakat sebagai satu komuniti ummah bersama rakan-rakan dan jiran untuk memutuskan apa sahaja yang perlu untuk menyelamatkan daripada terus dizalim dan jadi mangsa kekejaman,” katanya.

Related Articles

Back to top button