PEKA TVET: Jabatan Penjara hargai pengumuman perdana menteri
Peruntukan sebanyak RM10 juta bagi Program PEKA TVET (Peluang Kedua Anda) yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 adalah
Jabatan Penjara Malaysia menghargai pengumuman perdana menteri pada pembentangan Belanjawan 2024 yang memperuntukkan RM10 juta bagi Program PEKA TVET (Peluang Kedua Anda).
Melalui satu kenyataan, agensi itu menyifatkan ia sebagai pengiktirafankepada usaha berterusan Jabatan Penjara Malaysia dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada pesalah yang menyelesaikan tempoh hukuman mereka.
“Dengan kerjasama berterusan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pihak industri, jabatan ini bertekad memperkasakan banduan dengan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) dalam bidang perindustrian, perladangan dan pertanian.
“Melalui kerjasama ini juga, jabatan ini berharap dapat meningkatkan kadar produktiviti banduan dengan lebih efektif,” katanya kenyataan tersebut.
Tambah Jabatan Penjara, majikan dan industri boleh memainkan peranan dalam membantu membuka peluang pekerjaan yang lebih meluas kepada golongan banduan dan bekas banduan.
“Kerjasama ini bertujuan membantu mereka mengatasi rintangan sosial dan mengembalikan mereka ke dalam masyarakat sebagai individu lebih positif dan berdaya saing. Ketika ini, Jabatan Penjara sedang berusaha memenuhi keperluan sebanyak 6,000 peluang pekerjaan sebulan.
“Dengan memberikan peluang pekerjaan dan sokongan, ia dapat membantu mereka membina kehidupan lebih baik serta mengurangkan jumlah pengulanglaku jenayah sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
“Dalam merealisasikan hasrat ini, Yayasan Koreksional Penjara akan digerakkan bagi memberi bantuan bersesuaian untuk memulihkan banduan secara holistik,” katanya.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat memaklumkan Program PEKA (Peluang Kedua Anda) oleh Jabatan Penjara berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada pesalah yang mengakhiri tempoh hukuman.
Justeru itu, beliau mengumumkan bahawa kerjasama dengan syarikat untuk menjayakan program PEKA akan diteruskan pada tahun hadapan.
Selain itu, katanya, sebanyak RM10 juta turut disediakan bagi melaksanakan Program PEKA TVET untuk menyediakan latihan kompetensi yang diakreditasi oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) kepada pesalah.