Semasa

SPRM sangkal tuduhan Hamzah, tegaskan tak terlibat keputusan Ahli Parlimen sokong PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad mengesahkan agensi itu tidak terlibat dengan tindakan seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.

Ia susulan tuduhan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa agensi itu mengugut Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid supaya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim atau berdepan pertuduhan di mahkamah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tuduhan dilemparkan Hamzah Zainudin bahawa pihaknya cuba menakut-nakutkan ahli parlimen PN dianggap bertujuan untuk mencemarkan nama baik agensi itu.

“Kenyataan ketua pembangkang yang mendakwa kita terlibat dalam keputusan MP (Kuala Kangsar) adalah berniat jahat dan cuba memburukkan imej SPRM.

“Hakikatnya, kami tidak ada kena mengena dengan kenyataan yang dibuatnya,” kata Azam Baki, seperti dilaporkan The Star .

Pada 12 Oktober lalu, Iskandar menyatakan sokongan kepada Anwar dan kerajaan yang dipimpinnya.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

“Saya percaya ekonomi negara perlu ditingkatkan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Oleh yang demikian, saya menyokong YAB Perdana Menteri atas apa-apa usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi negara,” menurutnya dalam kenyataan.

Related Articles

Back to top button