AnwarSemasa

Surat Maryam curi perhatian Perdana Menteri

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk meneliti dan mempercepatkan usaha bagi menyelesaikan masalah tandas sekolah demi kesejahteraan anak-anak di sekolah.

Tekad itu dinyatakan beliau menerusi satu catatan di Facebook setelah menerima satu surat tulisan tangan dalam Bahasa Inggeris dari pelajar darjah tiga bernama Maryam yang menulis surat kepada beliau menceritakan keadaan tandas di sekolahnya.

Membahasakan Perdana Menteri sebagai ‘Uncle’ Anwar , Maryam meminta beliau datang ke sekolahnya bagi melihat sendiri keadaan tandas di situ.

“Nama saya Maryam dan saya berumur sembilan tahun. Saya nak beritahu mengenai tandas sekolah saya. Sepertimana saya hargai sumbangan (Perdana Menteri) dalam memastikan tandas sekolah bersih, saya tidak rasa tandas di sekolah saya bersih.

“Hanya dua tandas di sekolah saya mempunyai mangkuk tandas. Di tingkat paling atas di sekolah iaitu di mana kelas saya berada, tandas terletak di sebelah kiri kelas,” tulisnya pada surat tersebut yang dimuat naik Anwar di media sosialnya.

Dalam surat itu juga, Maryam memaklumkan, tandas pertama ialah tandas cangkung dan di tepinya terdapat lubang yang sepertinya labah-labah boleh merangkak keluar bila-bila masa.

“Baki tandas yang lain juga sama. Jadi tolong lawat sekolah saya dan lihat tandas tersebut. Tolong lihat nota di bahagian belakang,” tulisnya lagi.

Maryam memberitahu dia melihat banyak gambar-gambar selepas kerja ubah suai tandas sekolah yang cantik, namun keadaan seperti itu jelasnya tidak berlaku di sekolahnya.

“Jadi tolong bawakan banyak mangkuk tandas di sekolah saya.

“Akhir sekali apa yang saya nak maklumkan ialah siling di dalam tandas. Pada masa ini, dua jubin siling telah hilang. Terima kasih ‘Uncle’ Anwar,” katanya.

Sementara itu, Anwar pada hantaran itu memberi jaminan masalah itu akan diselesaikan segera.

“Terima kasih Maryam. Saya akan berusaha dengan lebih teliti dan percepat selesaikan masalah ini demi kesejahteraan anak-anak di sekolah,” ujarnya

Related Articles

Back to top button