Semasa

Ahli Parlimen Cheras ganti telefon pintar wira polis selamatkan pemandu hampir lemas

Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai menyampaikan penghargaan kepada seorang anggota polis yang bertindak berani menyelamatkan seorang memandu yang hampir lemas dalam kejadian banjir kilat baru-baru ini.

Pada satu majlis ringkas di Pejabat Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur semalam, beliau menyampaikan sijil penghargaan Lans Koperal Muhammad Afizul Ismail selain turut menggantikan telefon pintar Muhammad Afizul yang rosak akibat dimasuki air ketika kejadian.

Menurut Tan, tindakan berani Muhammad Afizul itu wajar dipuji kerana tindakan pantasnya dalam suasana yang kritikal berjaya menyelamatkan nyawa mangsa.

“Kejadian ini adalah satu contoh yang wajar diberikan penghargaan dan teladan yang patut dicontohi oleh semua penjawat awam atau orang ramai,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tindakan pantas tiga anggota polis berjaya menyelamatkan pemandu sebuah SUV yang hampir tenggelam susulan banjir kilat di terowong Jalan Chan Sow Lin, di sini.

Bercerita situasi ketika kejadian, Muhammad Afizul berkata, ketika kejadian hujan lebat dan dia dihubungi oleh pusat kawalan lalu lintas memaklumkan terdapat kereta tersangkut.

“Apabila sampai di lokasi kejadian kami tak fikir panjang dan terus cuba mengeluarkan mangsa yang sudah panik dari SUV berkenaan.

“Walaupun meredah air pada paras dagu (kira-kira 1.5 meter), saya tidak mengalami sebarang kesukaran, yang penting saya dapat selamatkan mangsa.”

“Setelah berjaya mengeluarkan mangsa, saya cuba tenangkan mangsa dan menghubungi waris terdekat,” katanya

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh.

Mangsa, seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) terperangkap dalam kenderaan dipandunya dalam kejadian banjir kilat, berhampiran Jalan Chan Sow Lin, di sini, 6 Oktober lalu.

Related Articles

Back to top button