Semasa

Jimat elektrik: PM cuba terap nilai murni dalam kalangan kakitangan awam

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sekali lagi cuba menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan kakitangan awam.

Terbaharu, beliau yang juga Menteri Kewangan mahu pejabat-pejabat kerajaan mengamalkan budaya penjimatan elektrik di samping mengelakkan pembaziran termasuk melibatkan hal yang kecil.

Budaya sebelum ini yang mengabaikan penjimatan elektrik jelasnya perlu diubah kerana ia melibatkan dana awam.

“Membazir ini kita selalu lihat yang besar-besar, kita lupa cara kita guna elektrik pejabat.

“Saya harap hal ini boleh kita mulakan dalam satu budaya kerana kalau penjimatan itu dapat kita amalkan, banyak hal boleh dilakukan,” katanya.

Beliau berkata begitu dalam ucapan di Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Oktober di Puspanitapuri di Putrajaya pada Isnin.

Anwar sementara itu berkongsi pengalaman ketika menjadi Menteri Kewangan pada 1990-an dimana beliau amat menitikberatkan supaya tidak berlaku pembaziran elektrik di pejabatnya.

“Masa saya di Kementerian Kewangan di Jalan Duta, saya ingat lagi bila perhimpunan kita di luar, kita nampak bangunan mana lampu masih ada.

“Saya minta ketua jabatan pergi tutup lampu. (Saya kata) anda keluar satu jam, kenapa lampu mesti dibuka? Ini bukan wang anda, ia dana awam,” katanya.

Related Articles

Back to top button