AnwarParlimen

Kerajaan pertimbang beri subsidi melalui pemindahan tunai – PM Anwar

Kerajaan sedang mempertimbang cadangan pemberian subsidi menerusi pemindahan tunai bagi memastikan golongan sasar menikmati manfaat berkenaan, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, cadangan itu sedang diperhalusi bagi memastikan subsidi disalurkan terus kepada rakyat tempatan selain mengelak ketirisan dan manfaat kepada warga asing.

“Itu yang sedang difikir dalam beberapa langkah lain yang lebih kompleks. Cadangan pemindahan tunai itu sedang dipertimbangkan untuk urusan (subsidi) lain dan mungkin akan diumumkan.

“Pendekatan sama ada secara langsung kepada rakyat melalui pemindahan tunai ini dan beberapa isu lain kita fikirkan yang lebih besar dan mengelakkan ketirisan serta manfaat kepada warga asing,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai cadangan diutarakan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Anwar menyifatkan cadangan berkenaan baik kerana pernah dilakukan sebelum ini, namun tidak semua jenis subsidi boleh digunakan menerusi kaedah itu.

“Dalam kes ayam dan telur tidak perlu begitu kerana harganya sudah turun dan kita ada ‘plan contingency’ daripada segi stok dan juga pasaran bukan saja harga murah di Thailand, malah juga China.

“Oleh itu, langkah sekarang (pengapungan) itu dianggap munasabah. Jadi pendekatan yang kita buat adalah melihat keadaan harga pasaran sekarang. Bila harga itu kurang dari siling seperti sekarang dan harga ayam dan telur di Thailand lagi rendah dari Malaysia, maka ini masanya kita apungkan.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mempunyai 30 peratus stok ayam dan telur dan bersedia, saya sudah beritahu untuk membeli dari Thailand andai kata ada keperluan untuk mengelak dari harga itu naik.

“Setakat ini, itu jaminan yang kita boleh lakukan dan kenapa kita lakukan sekarang adalah kerana harganya turun dan bekalannya besar,” katanya.

Katanya, pendekatan pada masa ini memberi keuntungan kepada 3.5 juta orang asing sedangkan kerajaan mengeluarkan subsidi ayam dan telur sejak 2022 mencecah RM3.7 bilion.

“Bukan soal anti maha kaya atau soal cukai tambahan kepada mereka. Maksudnya di sini ialah tidak ada subsidi kepada golongan maha kaya, itu saja.

“Jadi, ini bagaimana kita boleh elak nilai ini hanya dimanfaatkan rakyat yang berhak dan menolak 10 peratus golongan paling kaya dan 3.5 juta orang asing.

“Saya fikir mereka (orang asing) datang ke sini untuk mendapat gaji bukan untuk dapat subsidi dan kita pun ada dasar supaya beri yang munasabah dan adil kepada semua termasuk yang bukan warganegara.

“Tetapi tidak pula harus beri subsidi kepada warga asing jadi prinsip ini adalah untuk mengelakkan daripada subsidi yang sepatutnya diberi kepada rakyat tetapi sebahagiannya sedekah,” katanya.

Related Articles

Back to top button