Parlimen

Kerajaan tak cadang ‘bailout’ MYAirline – Timbalan Menteri MOT

Kerajaan tidak bercadang untuk menyelamatkan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) yang menggantung operasinya minggu lalu akibat kekangan kewangan dengan memberi ‘bailout’

Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah dalam sesi khas Dewan Rakyat pada Isnin.

“Hari ‘bailout’ sudah berakhir. Anda tahu apa maksud saya. Anda (syarikat) perlu selesaikan isu pelanggan (sendiri),” katanya.

Tambah Hasbi, syarikat penerbangan itu berdepan beberapa cabaran, termasuk kelewatan memuktamadkan penjualan saham kepada pelabur dan nilai ringgit semakin lemah berbanding dolar AS.

“Kebanyakan transaksi MYAirline dalam USD, termasuk pajakan pesawat dan kos bahan api, yang mengalami peningkatan daripada USD113 setong kepada USD131 setong.”

MYAirline pada Khamis lalu mengumumkan menggantung operasinya serta-merta disebabkan “cabaran kewangan signifikan” selepas “meneroka semua jalan perkongsian berpotensi dan penjanaan modal” untuk menyelamatkan perniagaannya.

Ia mengejutkan banyak pihak, termasuk Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengkritik keputusan yang dakwanya menjejaskan 125,000 penumpang, selain kerugian RM20 juta berdasarkan jualan tiket sehingga Mac 2024.

Eksekutif Interim MyAirline, Azharuddin Rahman dalam satu sidang media semalam mengakui kegagalan pihaknya memaklumkan penumpang mengenainya menggantung operasi syarikat itu sehingga menyebabkan penumpang ‘terkandas’ di lapangan terbang.

Mereka juga menyatakan rasa kecewa susulan penarikan diri pelabur berpotensi pada petang Rabu yang menyukarkannya syarikat itu meneruskan operasi.

Azharuddin berkata MYAirline sedang giat meneroka perkongsian strategik dan telah menerima beberapa cadangan.

Jumlah bayaran balik berjumlah RM22 juta membabitkan 135,000 penumpang selain gaji 900 pekerja yang tertunggak jelasnya akan dibuat selepas syarikat itu mendapat pendanaan baharu.

Related Articles

Back to top button