Semasa

NRECC kaji keperluan teruskan penggubalan RUU Jerebu Rentas Sempadan

Kajian akan dilakukan bagi mengkaji sekiranya ada keperluan meneruskan penggubalan Rang Undang-Undang Jerebu Rentas Sempadan yang pernah dicadangkan sebelum ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ini kerana penggubalan rang undang-undang berkenaan sebelum ini berdepan beberapa kekangan termasuk perjanjian di peringkat negara-negara Asean.

“Kita juga tengok pengalaman negara yang sudah ada berkaitan RUU itu, seperti di Singapura, ada beberapa kekangan bila nak buat perundangannya dan kita tengok juga tengok contoh yang paling berjaya adalah perjanjian yang dipanggil Air Quality Agreement antara Kanada dan Amerika Syarikat,” katanya.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu mengulas usaha menangani jerebu kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Transformasi Siswa Madani Perak di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan, isu jerebu sentiasa dibincang dalam mesyuarat sub-regional Asean yang diadakan setiap tahun, namun ia belum cukup memuaskan dan tidak menyelesaikan isu jerebu rentas sempadan.

“Jadi kita akan cuba lihat semua pilihan termasuk perjanjian atau RUU jerebu rentas sempadan ataupun perjanjian memperbaiki Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) sebagai penyelesaian kepada masalah jerebu selaras dengan matlamat Asean untuk menjadi bebas jerebu menjelang 2030,” jelasnya.

Rang Undang-Undang Jerebu Rentas Sempadan pernah dicadang oleh NRECC sebelum ini ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 namun tidak diteruskan di bawah Kementerian Alam Sekitar (KASA) apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan.

Related Articles

Back to top button