Nasional

RUU Kawalan Produk Merokok perlu dipersetujui kerajaan, dapat jimat kos rawatan sehingga berbilion ringgit – Dr Noor Hisham

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bersetuju dengan tindakan kerajaan sekiranya pelaksanaan peruntukan Generasi Penamat Rokok sebagaimana yang telah dipersetujui dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan (JKPK) dapat dipercepatkan.

Menurutnya, sekiranya peruntukan itu dapat dilaksanakan oleh kerajaan, ianya akan dapat menjimatkan kos rawatan selain menyelamatkan seramai 2.7 juta nyawa rakyat di negara ini.

“Dapat jimatkan kos rawatan yang bakal ditanggung akibat komplikasi penyakit sebanyak RM8.77 bilion bagi pengguna rokok konvensional.

“Manakala sebanyak RM369 juta bagi pengguna rokok elektronik akibat penyakit ‘E-Cigarette Vaping Associated Lung Injury’ (EVALI),” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, menerusi syor yang telah disiarkan melalui Laporan Prosiding Mesyuarat JKPK (Kertas DR.8 Tahun 2023) pada 10 Oktober lalu, jawatankuasa tersebut telah bersetuju dengan peruntukan Generasi Penamat Rokok.

“Namun bersetuju pendekatan secara berfasa dilaksanakan sebagaimana pelaksanaan di New Zealand.

“Tetapi penguatkuasaannya ditangguhkan sehingga Laporan Berkala dibentangkan di Parlimen pada tahun 2025,” katanya.

Dr Nor Hisham berkata, kini terdapat kira-kira 5 juta pengguna rokok konvesional dan 1.2 juta pengguna rokok elektronik di mana mereka tidak tergolong dalam kumpulan Generasi Penamat Rokok yang tidak dilarang untuk merokok.

“Kutipan cukai tidak akan berkurangan bagi tempoh masa lebih kurang 50 tahun berdasarkan jumlah pengguna dan tempoh jangka hayat mereka.

“Adakah ianya akan menjejaskan peluang pelaburan, pendapatan perniagaan dalam industri? Menganiaya peniaga Bumiputera serta peniaga kecil?” soalnya.

Pada 12 Jun lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 telah dibacakan kali yang pertama oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat dan ianya telah diserahkan kepada JKPK untuk diteliti.

Akta dicadangkan itu antara lain bertujuan mengubah masa depan kesihatan generasi akan datang supaya bebas daripada penyakit akibat ketagihan nikotin, sekali gus mewujudkan generasi baharu bebas daripada perbuatan merokok pada masa akan datang.

Related Articles

Back to top button