Politik

Ahli Parlimen Kuala Kangsar bidas tuduhan sokong PM kerana ditekan

Ahli Parlimen Kuala Kangsar dari Perikatan Nasional (PN) Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menafikan tuduhan bahawa sokongan diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat kerana diancam tuduhan rasuah.

Memetik laporan The Star, Iskandar Dzulkarnain mempertahankan alasan menyokong perdana menteri agar dana kerajaan dapat disalur kepada pengundi kawasannya dan bukan ditekan mana-mana pihak.

“Sepanjang perkhidmatan saya dalam kerajaan, tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah, apatah lagi rasuah,” tegasnya.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini menuduh Iskandar Dzulkarnain menyatakan sokongan kepada Anwar kerana ditekan.

Dia mendakwa Iskandar Dzulkarnain dibawa seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Oktober lalu dan diancam dengan tuduhan rasuah jika beliau enggan menandatangani kenyataan yang menyatakan sokongannya kepada kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kemudian tampil menafikan dakwaan Hamzah dan menyifatkan tuduhan itu sebagai cubaan memburuk-burukkan agensi berkenaan.

Sementara itu, Iskandar Dzulkarnain menegaskan, keputusan menyokong perdana menteri dibuat selepas pelbagai sesi libat urus dengan pengundi dari pelbagai golongan diadakan bagi mendengar masalah dan kebimbangan mereka.

“Dari sesi ini, saya mendapati bahawa ramai penyokong, rakan dan pengundi saya letih dan kecewa dengan ketidakstabilan politik. Mereka mahu melihat kerjasama politik wujud atas nama kestabilan.

“Saya berharap dengan keputusan ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan kepada kawasan saya untuk manfaat dan kebajikan rakyat di kawasan saya,” ujarnya yang turut menggesa semua pihak untuk menghormati keputusannya dan berhenti membuat spekulasi.

Related Articles

Back to top button