Semasa

Hujan punca utama kejadian tanah runtuh Batang Kali

Insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor tahun lalu sehingga meragut 31 nyawa tidak disebabkan oleh aktiviti manusia, sebaliknya kejadian hujan dikenal pasti faktor pencetus utama, yang menyebabkan kegagalan cerun di kawasan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu disimpulkan dari analisis forensik Siasatan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) yang menyiasat kejadian itu.

“Secara ringkasnya, hasil analisis forensik mendapati kejadian hujan (rainfall event) merupakan faktor pencetus utama akibat daripada kombinasi jumlah hujan major (major rainfall) kumulatif bagi tempoh 5 hari dan hujan anteseden (antecedent rainfall) kumulatif 30 hari sebelum runtuhan berlaku yang mana masing-masing 118.6mm dan 444.8mm.

“Hujan yang lebat ini menyebabkan kegagalan cerun sehingga mengakibatkan tapak perkhemahan meliputi Kawasan Hill View, Farm View dan River Side tertimbus dengan sisa runtuhan tanah sehingga menyebabkan kerosakkan harta benda dan kehilangan nyawa.

“Siasatan tidak menemui bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat itu dalam kenyataan.

JKKTR ditubuhkan bagi menjalankan kerja penyiasatan diketuai Cawangan Kejuteraan Cerun Jabatan Kerja Raya dan disertai Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi Malaysia, dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), serta badan-badan profesional.

Laporan penuh JKKTR itu boleh diakses oleh orang ramai melalui laman sesawang Nadma mulai 10 pagi ini.

Dalam kejadian di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, berdekatan Batang Kali pada 16 Dis itu 31 orang kehilangan nyawa termasuk 13 kanak-kanak, dan 61 diselamatkan.

Kerajaan Selangor telah bersetuju untuk menyahklasifikan laporan tersebut pada 5 Oktober lalu dan ia telah diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk tindakan lanjut.

Related Articles

Back to top button