Semasa

Kerajaan bakal naikkan elaun khas pasukan SMART

Kerajaan bercadang untuk menaikkan elaun khas bagi anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) terutama bagi mereka yang terbabit misi mencari dan menyelamat bencana di dalam dan luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan sudah mengarahkan agar Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengkaji perkara itu sebelum kadar munasabah ditentukan.

Tambahnya, kenaikan itu munasabah memandangkan pasukan itu kini antara pasukan mencari dan menyelamat terbaik di dunia.

“Kami harap kadar baharu elaun itu kelak akan memberi motivasi kepada pasukan itu sekali gus menggalakkan mereka untuk menjadi pasukan yang terbaik.

“Elaun itu ketika ini sikit. Tadi saya sudah minta Ketua Pengarah untuk kaji semula dan saya harap ia dapat dilakukan secepat mungkin.

“Kerajaan menghargai peranan dan pembabitan pasukan itu dalam siri mencari dan menyelamat terutama di Turkiye baru-baru ini sehingga mendapat pengiktirafan Presidennya, Recep Tayyip Erdogan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata begitu ketika ditemui selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2023 (BKN 2023) di Markas SMART di Puchong, Selangor pada Selasa.

Sebagai rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Feb lalu menyatakan penghargaan kepada jasa besar pasukan mencari dan menyelamat negara terutama kepada pasukan yang menyertai misi kemanusian di Turkiye dan Syria yang dilanda gempa.

Ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Feb, beliau mengumumkan elaun RM100 sehari bagi semua anggota yang menyertai misi tersebut.

Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan, SMART kini disertai 141 anggota membabitkan tiga agensi penyelamat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikannya turut mencadangkan supaya pasukan ini diperbesarkan kepada tujuh agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan (KKM).

Related Articles

Back to top button