Semasa

KPKT akan edar GPP tapak perkhemahan kepada PBT

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengedarkan Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan tidak lama lagi.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, GPP tersebut sudah siap sepenuhnya dan akan diedarkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) .

Tambahnya, garis panduan yang komprehensif itu akan menjadi rujukan kepada pengusaha tapak perkhemahan berkaitan permohonan lesen bagi memastikan kawasan riadah berkenaan selamat untuk pengunjung.

“Keselamatan tapak dengan penentuan jarak sesuai dari kawasan larangan dan keadaan bentuk muka bumi antara yang digariskan dalam garis panduan tersebut.

“Walaupun ada garis panduan, kadang-kadang berlaku bencana alam di luar jangka. Betapa komprehensif garis panduan yang kita ada, jika bencana alam seperti gempa bumi nak berlaku, kita tidak dapat nak lari,” katanya.

Nga berkata begitu kepada pemberita selepas melancarkan Program Bring Your Own di Putrajaya pada Selasa.

GPP diwujudkan susulan kejadian tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di Batang Kali pada Disember tahun lepas itu, mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pelbagai agensi yang berkaitan termasuk PBT dan pengusaha tapak perkhemahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mendedahkan analisis forensik Siasatan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) yang menyiasat kejadian di Father’s Organic Farm 16 Dis itu mendapati punca utama kejadian adalah dari jumlah hujan kumulatif yang menyebabkan kegagalan cerun.

Sementara itu, Nga mengingatkan ibu bapa supaya memberi perhatian terhadap aspek keselamatan apabila merancang percutian bersama keluarga terutama ketika cuaca tidak menentu pada akhir tahun.

“Jangan pergi ke tempat berisiko tinggi kerana tidak berbaloi, malang tidak berbau,” tegasnya.

Related Articles

Back to top button