Mahasiswa perlu nilai konsep Malaysia Madani dalam perspektif lebih luas
Penuntut institusi pengajian tinggi dinasihatkan agar menilai konsep Malaysia Madani yang diperkenal Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ismail Yusop berkata, gagasan diperkenal Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bukan sekadar slogan kosong, namun ke arah pembentukkan sebuah negara bangsa bermaruah dan berdaulat.
“Perdana Menteri juga memahami cabaran besar yang bakal ditempuh generasi muda ketika ini dan perlu menyiapkan mereka supaya bersedia bagi mendepaninya,” katanya .
Ismail sebelumnya hadir bagi mewakili Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu merasmikan Program Semarak Transformasi Siswa Madani Selangor di Bangi pada Selasa.
Acara berkonsepkan penerangan idea Malaysia Madani itu disertai kira-kira 1,000 pelajar Universiti Islam Selangor (UIS) dengan kerjasama Himpunan Siswazah Kebangsaan.
Sementara itu, Ismail dalam ucapannya turut menggesa penuntut universiti menjadi ejen kepada komuniti peringkat akar umbi kerana tanggungjawab sebegini menuntut mereka tidak leka dengan kisah kejayaan terdahulu.
Beliau memberikan contoh pelaksanaan Undi 18 pada pilihan raya umum lepas yang telah mengubah demografi dan profil politik tanah air melibatkan golongan lepasan sekolah.
Situasi itu tambahnya, memerlukan belia yang kali pertama menjadi pengundi perlu cakna senario masa depan negara dan memilih wakil rakyat terbaik mengemudi masyarakat.