AnwarTeknologi

PM Anwar mahu negara lahirkan lebih ramai penyelidik teraju inovasi berteraskan STI

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu lebih ramai penyelidik negara memberanikan diri untuk menyumbang kepada industri serta menerajui inovasi berteraskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Beliau turut menyeru agar pihak industri membuka lebih banyak peluang kerjaya untuk pekerja berilmu dan berkemahiran tinggi ke arah mempertingkat prestasi masing-masing.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Felo Akademi Sains Malaysia dan Pengiktirafan Top Research Scientist Malaysia 2023 di Kuala Lumpur.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Chang Lih Kang.

“Saya gusar bahawa data menunjukkan 87.5 peratus penyelidik di Malaysia berkhidmat di institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan awam berbanding negara lain di rantau Asia Tenggara seperti Thailand dan Singapura di mana 50 peratus dan ke atas penyelidik berada di sektor industri.

“Saya lontarkan cabaran kepada hadirin dan hadirat sekalian sebagai pakar dan ilmuan untuk menjadi pemacu perubahan, bergerak supaya lebih berdaya saing dan mampan, memperkukuh ekosistem STI negara, membangunkan bakat yang sejajar dan memanfaatkan rakyat melalui STI harus menjadi keutamaan,” katanya.

Anwar turut menyokong syor dalam Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersilan dan Inovasi (RDCI) iaitu mewujudkan satu platform inovasi nasional untuk membawa pihak yang mencari penyelesaian serta yang memberikan penyelesaian ke arah mempertingkat prestasi inovasi negara.

Tambahnya, ia penting bagi menghidupkan semula kepercayaan rakyat terhadap STI dalam merealisasikan kemajuan sosio ekonomi.

“Komuniti saintifik negara juga harus mengubah cara kerja supaya berorientasikan misi dan menjurus kepada pemberian penyelesaian serta merungkaikan cara untuk laksanakan sesuatu inisiatif secara menyeluruh serta efektif.

“Penterjemahan ilmu, penemuan baharu dan hasil penyelidikan kepada penyelesaian bagi cabaran yang dihadapi negara serta masyarakat perlu menjadi fokus utama ke arah menjana impak positif,” katanya.

Related Articles

Back to top button