Pilihanraya

GPS namakan bekas Pengarah AADK Sarawak calon PRK DUN Jepak

Bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, Iskandar Turkee diumumkan sebagai bagi Pilihan Raya Kecil (PR) DUN Jepak mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Perkara itu diumumkan Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis di Bintulu petang Rabu.

Beliau berkata Iskandar dipilih gabungan itu, berdasarkan kemampuan serta pengalamannya yang luas dalam kegiatan sosial masyarakat.

“Kesungguhan beliau juga boleh dilihat, apabila sanggup meninggalkan jawatannya (sebagai pengarah AADK) untuk berkhidmat untuk rakyat di Jepak.

“Walaupun ini hanya pilihan raya kecil, tapi bagi saya keputusan PRK ini besar (signifikan), untuk membuktikan sokongan rakyat kepada GPS untuk terus menerajui Sarawak,” katanya.

Iskandar, 54, berkelulusan Sarjana Pembangunan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia dan merupakan Ahli Panel Majlis Sosial Sarawak; Majlis Perpaduan Sarawak; Ahli Jawatankuasa Induk One Stop Committee Menangani Isu Dadah Sarawak dan Ahli Jawatankuasa Induk PEMADAM Sarawak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Jepak pada Sabtu ini manakala pengundian awal dan hari mengundi masing-masing pada 31 Oktober dan 4 November.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu.

Oktober lalu, KEADILAN Sarawak memaklumkan kepada Majlis Pimpinan Pusat dan biro politik parti itu keputusan tidak bertanding di PRK DUN Jepak.

Keputusan itu demi perpaduan dan kestabilan politik negara memandangkan GPS dan Pakatan Harapan (PH) disertai KEADILAN merupakan rakan kerjasama politik dalam kerajaan.

Related Articles

Back to top button