Global

Genosid: KEADILAN kutuk hipokrasi Israel dan sekutunya

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengutuk keras tindakan pengeboman Hospital Al-Ahli Al-Arabi di utara Gaza oleh Rejim Zionis Israel pada Selasa.

Pengerusi Biro Antarabangsa parti itu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tragedi yang mengorbankan lebih 500 orang itu satu bentuk kejahatan dan hipokrasi Israel, Amerika Syarikat (AS) dan sekutu mereka termasuk Kesatuan Eropah terhadap penduduk Palestin.

Tambahnya, tindakan biadap itu tidak dapat diterima oleh mana-mana manusia bertamadun, berakal dan mempunyai perasaan.

“Strategi perang rejim Zionis Israel terhadap Semenanjung Gaza sejak peperangan ini bermula lebih seminggu yang lalu bukan sahaja serangan bom tetapi hukuman secara kolektif dengan memutuskan bekalan air, elektrik dan makanan.

“Semalam, Israel telah meningkatkan tahap serangan dengan mengebom hospital tempat merawat orang awam yang cedera serta tempat perlindungan wanita dan kanak-kanak yang dijamin selamat oleh undang-undang antarabangsa.

“Semua pihak yang berpegang kepada prinsip keadilan, menghormati undang-undang antarabangsa dan mempunyai nilai kemanusiaan tidak dapat menerima jenayah pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan terhadap rakyat Palestin oleh Israel ketika ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri itu turut memaklumkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Presiden KEADILAN telah menghubungi pemimpin Hamas iaitu Ismail Haniyeh semalam bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada rakyat Palestin.

“Selain bantuan sebanyak RM100 juta, Kerajaan Malaysia komited untuk membantu meraih lebih banyak sumbangan bagi usaha serta operasi kemanusiaan dan perubatan untuk rakyat Gaza.

“Serangan Israel ke atas Gaza kali ini yang disokong oleh AS dan sekutu mereka khususnya Kesatuan Eropah telah membuka mata lebih banyak negara serta jutaan masyarakat dunia,” tambahnya.

Melalui kenyataan sama, beliau turut menegaskan KEADILAN akan berdiri teguh bersama seluruh rakyat Malaysia untuk berusaha dan berdoa agar rakyat Palestin bebas daripada kejahatan penjajah rejim Zionis Israel.

Related Articles

Back to top button