Nasional

Kerajaan akan mula salur bantuan e-wallet RM100 Disember ini

Kerajaan akan menunaikan janji bagi bantuan e-wallet RM100 kepada penerima yang layak pada Disember ini, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong.

“Bantuan e-wallet RM100 ini akan diagihkan pada bulan Disember nanti.

“Jadi (rakyat) akan dapat (bantuan ini). Rakyat diminta bersabar kerana kerajaan akan tunaikan janji,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Inisiatif ini bukan sahaja terhad kepada isi rumah penerima sahaja tetapi juga kepada pasaran tempatan terutamanya kepada peniaga kecil dan penjaja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa bantuan e-wallet RM100 akan dikreditkan kepada semua rakyat Malaysia berumur 21 tahun dan ke atas ketika Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lepas.

Bantuan e-wallet RM100 merupakan inisiatif terbaharu yang diumumkan kerajaan bagi golongan B40 dan M40 yang berpendapatan RM100,000 ke bawah.

Sementara itu, Sim juga berkata Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2024 yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 akan memanfaatkan 700,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Beliau berkata, penerima yang layak akan menerima sumbangan berjumlah RM100 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

Menjawab soalan mengenai kebimbingan wang sumbangan itu tidak digunakan untuk keperluan, Sim berkata kerajaan perlu ada keyakinan terhadap mereka yang kurang mampu.

“Jangan sangka orang kurang mampu akan beli rokok dan saya tidak kata ia tidak berlaku tetapi kena ada fleksibiliti.

“Kadang-kala kalau kita (kerajaan) tetapkan peraturan yang ketat, ia menyukarkan penerima kerana ada antara mereka mempunyai keperluan dan kepentingan lain,” katanya.

Related Articles

Back to top button