Nasional

Ketua Hakim Negara beri jaminan, badan kehakiman Malaysia akan terus laksana fungsi dengan baik

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memberi jaminan badan kehakiman Malaysia melalui prinsip kedaulatan undang-undang yang disokong ASEAN, akan terus melaksanakan fungsinya tanpa rasa takut atau pilih kasih terhadap mana-mana pihak tertentu.

Tengku Maimun yang juga Presiden Persatuan Undang-Undang ASEAN (ALA) Malaysia berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya dengan prinsip itu dan sokongan Perdana Menteri menunjukkan bagaimana eksekutif serta badan kehakiman boleh terus melaksanakan fungsi mereka secara bebas, selain memberi sokongan jika diperlukan.

“Di sebalik perbezaan dan sebagai ahli profesion undang-undang di rantau ASEAN, kami berkongsi dedikasi yang mendalam untuk mengejar keadilan.

“Kewajipan ini merentasi sempadan negara dan sistem perundangan.

“Komitmen kolektif kami terhadap keadilan tanpa mengira latar belakang individu, jelas menegaskan semula perpaduan kami dan memperkukuh tekad kami sambil terus menegakkan kedaulatan undang-undang serta menggalakkan kerjasama dalam rantau ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung ALA Ke-14 dan Persidangan Undang-Undang ASEAN 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Maimun berkata, persidangan itu akan dijadikan platform komprehensif yang membincangkan pelbagai subjek penting.

“Topik berkenaan merangkumi keperluan segera untuk melindungi hak wanita dan kanak-kanak kepada trend pendigitalan yang semakin pesat dalam landskap ASEAN.

“Sesi pembukaan persidangan bertajuk ‘Our Women and Children – From Nominalism to Significance’ mendalami isu kesihatan mental yang membebankan wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Related Articles

Back to top button