Semasa

PPAS tarik diri dari Pesta Buku Franfurt – MB Selangor

Kerajaan Selangor melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memaklumkan menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt 2023.

Pendirian PPAS itu dikongsikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi laman X.

Naib Presiden KEADILAN itu berkata, keputusan tersebut dibuat PPAS selepas mengambil kira kenyataan rasmi daripada penganjur mengenai konflik Israel-Palestin.

“Pesta buku sepatutnya menjadi medan berkecuali dan tidak condong kepada mana-mana agenda politik tetapi sebaliknya perlu menyuburkan kesatuan dan keadilan dalam ekosistem industri buku,” katanya pada Khamis.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas beberapa hari Dewan Bahasa dan Pustaka mengambil tindakan membatalkan penyertaan mereka di pesta buku terbesar berkenaan.

Pada Selasa, Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan untuk menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt 2023 selepas penganjur menyatakan sokongan terbuka terhadap Israel.

Menterinya Fadhlina Sidek menegaskan, kementerian tidak akan sesekali bertolak ansur terhadap keganasan Israel yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

Keputusan serupa dengan alasan yang sama turut diambil Dewan Bahasa dan Pustaka; Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Related Articles

Back to top button