Global

Serangan hospital di Gaza pencabulan terhadap Konvensyen Geneva – Dr Zaliha Mustafa

Serangan udara oleh rejim Israel ke atas Hospital Arab al-Ahli di Gaza, Palestin semalam telah mencabul Konvensyen Geneva, tegas Dr Zaliha Mustafa.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan menyelar tindakan biadap rejim sehingga menyebabkan lebih 500 terkorban dan menggesa semua rakyat Malaysia bersolidariti bersama rakyat Palestin.

“Saya menyelar sekeras-kerasnya serangan rejim Israel terhadap Hospital Arab al-Ahli di Gaza, Palestin. Tindakan ini dengan jelas mencabul Konvensyen Geneva.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersolidariti bersama-sama dengan rakyat Palestin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Semalam, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut mengeluar kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya serangan atas hospital terbabit dan menyifatkan tindakan itu sebagai “keganasan terancang” dan ” jenayah perang.”

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan rejim itu sebagai tindakan yang sudah sampai ke tahap gila dan tidak berperikemanusiaan.

Menyatakan pendirian kerajaan yang mengutuk keras tindakan itu, Anwar mahu serangan terhadap penduduk awam dihentikan serta merta.

Rejim Zionis sebelum ini mempertahankan tindakannya membedil kawasan awam di Genting Gaza yang dikepung sebagai hak mempertahankan diri selepas Hamas melancarkan serangan mengejut digelar Operasi Banjir al-Aqsa pada Sabtu lalu.

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell antara pemimpin dunia yang turut membidas tindakan terbaharu rejim Israel dengan menegaskan bahawa hak mempertahankan diri perlu dilakukan mengikut undang-undang antarabangsa bukannya menyerang kawasan penempatan awam secara membabi buta.

Related Articles

Back to top button