Serangan Israel keganasan terancang, jenayah perang – OIC
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan gila rejim Israel melakukan serangan ke atas Hospital Al-Ahli Baptist yang membunuh kira-kira 500 orang awam.
Dalam satu kenyataan bertulis semalam, OIC menyifatkan tindakan rejim itu sebagai “keganasan terancang” dan ” jenayah perang.
OIC menekankan bahawa blok 57 negara Islam itu mahu Israel bertanggungjawab atas perbuatan jenayah, keganasan dan serangan kejam terhadap rakyat Palestin.
Perbuatan itu jelas bercanggah dengan nilai kemanusiaan dan bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Pertubuhan itu turut menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk segera campur tangan bagi menghentikan jenayah perang itu dan menyediakan perlindungan antarabangsa untuk rakyat Palestin.
Hospital Al-Ahli al- Arabi yang dipenuhi pesakit dan penduduk Palestin yang tumpang berteduh dibedil pesawat Israel pada Selasa .
Menteri Kesihatan Gaza, Mai Alkaila menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai dan harus bertanggungjawab terhadap insiden ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan itu semalam dengan menyifatkannya sudah sampai ke tahap gila dan tidak berperikemanusiaan
Beliau juga menyatakan rasa kesal dengan sikap beberapa negara barat yang kononnya sering bercakap tentang soal kemanusiaan, tetapi berbeza nada dalam isu perang antara Palestin dan Israel.
Anwar turut berkata, akan berada di Riyadh hari inic dan akan bertemu Putera Mahkota Arab Saudi, Muhammad Salman, yang juga Perdana Menteri negara itu, bagi membincangkan isu yang melanda Palestin.
Selain Anwar, ramai pemimpin dunia menyelar tindakan terkutuk rejim Israel. Raja Jordan Raja Abdullah mengecam insiden pembunuhan kejam orang awam yang tidak bersalah, termasuk pesakit yang sedang menerima rawatan.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengecam serangan itu dalam satu kenyataan di media sosial.
“Mengebom hospital yang mengandungi wanita, kanak-kanak dan orang awam yang tidak bersalah adalah contoh terbaru serangan Israel yang tidak mempunyai nilai kemanusiaan yang paling asas,” katanya.
Dunia terutama negara Arab, Maldives, Pakistan dan Rusia turut membuat kenyataan mengutuk apa yang disifatkan jenayah perang itu.