Semasa

Bantuan Awal Persekolahan disalurkan Januari depan

Bantuan Awal Persekolahan (BAP) akan disalurkan pada Januari 2024 kepada setiap pelajar, kata Menteri Pendidikan.

Fadhlina Sidek ketika ditemui selepas Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Kaunselor Pendidikan di sini Putrajaya pada Khamis berkata, bantuan tersebut akan disalurkan mengikut data direkodkan sekolah dan ibu bapa atau penjaga tidak perlu mengisi apa-apa borang bagi memohon bantuan tersebut.

“(BAP) untuk semua pelajar. Kami mengekalkannya seperti tahun lepas. Dia (nama pelajar) memang ada di sekolah, rekod itu sudah ada, mereka (ibu bapa dan penjaga) hanya perlu pergi ke sekolah dan ambil macam biasa. Itu proses macam biasa, macam tahun-tahun sebelum ini,” kata Fadhlina.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada Isnin lalu mengumumkan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM788.13 juta menerusi Belanjawan 2024 khusus untuk tujuan BAP.

Bayaran BAP yang bakal memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta murid akan diberikan secara sekali bayar melalui sekolah dan diagihkan secara tunai atau kredit ke akaun masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM komited untuk mencapai sasaran nisbah seorang guru kaunseling bagi 250 murid sekolah rendah dan menengah bagi memastikan saranan dan intervensi yang diperlukan klien berjalan dengan efisien dan efektif.

Tanpa menyatakan berapa nisbah terkini dan bila sasaran itu akan dapat dicapai, beliau berkata KPM bekerja keras untuk memastikan sasaran itu dapat dijayakan.

Related Articles

Back to top button