Negeri

Belanjawan 2024: bukti komitmen PM Anwar tingkat pembangunan Sabah, Sarawak

Peningkatan peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024 dianggap bukti kerajaan Persekutuan mahu memastikan pembangunan di kedua negeri itu setara dengan semenanjung.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, melalui peruntukan tersebut, ia jelas menggambarkan bahawa pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur di Sabah dan Sarawak telah diberi tumpuan dalam belanjawan tahun hadapan.

“Menyedari kedudukan kewangan negara yang mencabar, sudah pasti peningkatan yang diberikan itu, kita sepatutnya boleh dikatakan bergembira sebab itu menggambarkan komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah Kerajaan Perpaduan untuk bantu dan beri komitmen supaya Sabah dan Sarawak diberi tumpuan untuk meningkatkan infrastruktur,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Pasca Pembentangan Belanjawan 2024 disiar Bernama TV turut berkata, peruntukan diberikan itu juga sudah pasti dapat menyegerakan atau mempercepatkan lagi pembangunan infrastruktur di kedua-dua negeri berkenaan.

“Tetapi apa pun, tumpuan yang kita berikan sekarang ialah tatakelola yang baik, walaupun peruntukan itu ada, kalau tidak dibelanjakan dengan berhemah, efektif dan efisien ia tidak akan memberikan kesan.

“Sebab itu kita kena pastikan bahawa jentera kerajaan selaku agensi pelaksana akan dapat melaksanakan kerja-kerja secepat mungkin dan sebaik mungkin supaya apa sahaja kerja yang ketinggalan yang perlu dilaksanakan dapat dilaksanakan dengan segera,” tambah Ahli Parlimen Petra Jaya itu.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat Jumaat lepas mengumumkan bagi pembangunan Sarawak meningkat kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.6 bilion manakala Sabah meningkat kepada RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan, kerajaan Persekutuan juga telah menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak.

Related Articles

Back to top button