India setuju eksport beras ke Malaysia sebagai tanda persahabatan istimewa
India telah menyatakan persetujuan untuk mengeksport semula beras ke Malaysia, beritahu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu.
Melalui sidang media sempena majlis pra pelancaran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Shah Alam pada Khamis, beliau walau bagaimanapun menjelaskan, harga beras yang bakal diimport itu bakal bergantung kepada hasil perbincangan dengan kerajaan negara tersebut.
“Kita akan lihat dulu berapa harganya sebelum membuat apa-apa perubahan sebab sekarang baru peringkat persetujuan dan akan ada peringkat rundingan harga dan sebagainya,” katanya.
Kerajaan India pada Rabu dilapor meluluskan eksport 170,000 metrik tan beras putih bukan basmati ke Malaysia.
India pada 20 Julai lalu menetapkan dasar melarang eksport beras putih ke negara luar bagi menjaga keperluan domestik beras di negara itu selain bagi mengawal harga bekalan makanan ruji tersebut.
Harga beras dunia naik mendadak seawal Januari 2023, dengan pengeluaran dan bekalan beras dilaporkan terganggu akibat perubahan iklim dunia.
Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur dilaporkan berkata, keputusan baharu India yang kelulusan eksport beras ke Malaysia sebagai tanda persahabatan istimewa dua negara selain dasar berterusan India menyokong usaha negara sahabat dalam menjaga keterjaminan makanan.
Pada 1 Sept lalu, Padiberas Nasional Bhd menyelaras harga jualan beras putih import daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan, sejajar harga di pasaran antarabangsa ketika ini.