Semasa

KPM tingkat usaha budayakan bidang pendidikan STEM

Kementerian Pendidikan (KPM) akan meningkatkan usaha membudayakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kata Menterinya, Fadhlina Sidek.

Berucap pada Majlis Penganugerahan Duta Guru di Sepang, beliau berkata pihaknya mengambil maklum kebimbangan kumpulan pelajar terutamanya yang berada di Tingkatan Enam mengenai hala tuju karier sekiranya mereka memilih bidang STEM.

Bagi mengatasi kebimbangan itu jelas Fadhlina, KPM bukan sahaja akan mahu membudayakan STEM, malah turut cuba meyakinkan pihak berkepentingan bahawa bidang itu boleh dijadikan karier pada masa hadapan.

“(Satu daripada) usaha kita adalah bagaimana untuk bercakap dengan ibu bapa, sedikit mencabar untuk meyakinkan mereka (STEM mempunyai hala tuju karier).

“Ini kerana, ibu bapa menjadi penentu pilihan kerjaya serta masa depan anak-anak dan terdapat kekangan untuk meyakinkan mereka agar anak-anak memilih bidang STEM sebagai pilihan pengajian,” katanya.

Sementara itu Fadhlina turut berkata, hasrat kerajaan untuk memperkasa bidang itu jelas terzahir menerusi Belanjawan 2024 apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian akan ditubuhkan dalam menetapkan sasaran dan langkah bagi meningkatkan penglibatan pelajar sekolah.

Anwar turut mengumumkan kerajaan akan menyediakan RM100 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan memperoleh peralatan baharu untuk pembelajaran STEM.

Majlis Penganugerahan Duta Guru malam tadi meraikan 253 guru daripada kohort ketiga Program Duta Guru (PDG) yang merupakan program melibatkan kerjasama antara KPM, Yayasan Petronas dan ‘Teach for Malaysia’ yang diperkenalkan sejak 2020.

PDG merupakan sesi latihan dua tahun dan program itu kini sedang melatih guru bagi kohort keempat yang terdiri daripada 453 guru STEM dari sekolah menengah seluruh negara.

Menerusi penganugerahan sebagai duta guru, menandakan permulaan mereka sebagai pemangkin pendidikan STEM di sekolah menengah masing-masing, terutamanya sekolah yang majoriti pelajarnya daripada keluarga B40.

Related Articles

Back to top button