Global

Mesyuarat Tergempar OIC: Malaysia gesa henti kekejaman terhadap Palestin

Malaysia sekali lagi menggesa supaya konflik Palestin-Israel di Gaza dihentikan pada kadar segera.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika menyampaikan kenyataan negara di Arab Saudi pada Khamis berkata, negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), masyarakat antarabangsa dan negara-negara yang berpengaruh perlu mencari penyelesaian ke arah itu termasuk menghentikan tindakan menyahkan hak dan tanah rakyat Palestin oleh rejim Israel.

“Saya juga telah menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyokong pembukaan laluan kemanusiaan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.” kata kementerian luar dalam satu kenyataan.

Pendirian Malaysia itu telah dinyatakan pada Mesyuarat Luar Biasa Tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Peringkat Menteri-Menteri Luar Negeri yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi pada Rabu.

Pada mesyuarat tersebut juga Malaysia secara serius mengutuk insiden pengeboman Hospital Al-Ahli Al-Arabi di Utara Gaza yang membunuh ratusan wanita dan kanak- kanak serta orang awam yang tidak bersalah.

Malaysia menegaskan, perbuatan kejam rejim Israel itu jelas bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa.

“Sebagai salah sebuah negara pengasas OIC, Malaysia terus komited dalam memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin.

“Malaysia bersedia untuk bekerjasama dalam mana-mana usaha antarabangsa bagi mengumpul dan menghulurkan bantuan kemanusiaan secepat mungkin kepada rakyat Palestin.

“Malaysia juga sedang giat mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin dunia bagi mencari kaedah terbaik untuk menghentikan konflik yang berlaku dan mencari penyelesaian masa kini dan masa hadapan rakyat Palestin agar lebih aman dan selamat,” kata Wisma Putra dalam kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button