ekonomi

Pelaburan terus masuk, DAMAC Group rancang tubuh pusat data di Malaysia

Pemaju hartanah mewah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) DAMAC Group merancang untuk menubuhkan pusat data di Malaysia.

Perkara itu didedahkan Menteri Komunikasi dan Digital KKD), Fahmi Fadzil susulan pertemuan dengan pengasas dan pengerusi DAMAC Group, Hussain Sajwani di kediamannya di Dubai.

Menurut Fahmi, penubuhan pusat data dengan nilai pelaburan RM250 juta di Cyberjaya itu akan menumpukan kepada pelanggan runcit dan perusahaan.

“Saiz tanah yang dicadangkan adalah lebih kurang 1.21 hektar. Pada masa ini, DAMAC sedang menilai Cyberjaya dan CBD KL sebagai pilihan,” katanya dipetik.

Fahmi berada di UAE sempena lawatan rasmi selama empat hari bersempena dengan pameran Gulf Information Technology Exhibition (GITEX) Global 2023 dan Expand North Star (ENS) di Dubai.

GITEX Global Edisi ke-43 yang berlangsung dari 16 hingga 20 Oktober di Dubai World Trade Centre dihadiri lebih 6,000 syarikat dari 170 negara manakala ENS diadakan dari 15 hingga 18 Oktober di Dubai Harbour.

DAMAC Group ditubuhkan di Dubai pada 1982 dan memiliki hasil global berjumlah US$1.66 billion setakat 2022 dengan operasinya merentas Amerika Utara, Eropah, Asia, Timur Tengah dan Afrika.

Ia menumpukan kepada pelaburan dalam ekuiti persendirian, penggabungan dan pengambilalihan serta memegang pegangan utama dan minoriti dalam syarikat senaraian awam serta industri seperti fesyen mewah, hartanah, hospitaliti dan pembuatan.

Kumpulan itu mempunyai pelaburan yang besar dalam pengurus dana terkemuka di Amerika Syarikat seperti Vista, Silverlake, Andreessen Horowitz, Thoma Bravo, Starwood, Founders Fund, Warburg, Pincus dan Brookfield.

Related Articles

Back to top button