PM Anwar ke Arab Saudi, bincang tindakan khusus terhadap kezaliman Israel
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri persidangan tetap di antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN di Riyadh Arab Saudi.
Ketika memberi penerangan mengenai lawatan itu di Dewan Rakyat pada Khamis, Anwar berkata persidangan itu akan mengadakan perbincangan khusus mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin.
“Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed menelefon saya beberapa hari lalu, meminta saya sambung sehari lagi pada 21 Oktober supaya diadakan perbincangan dan acara rasmi di Arab Saudi.
“Saya akan berbincang dengan teman lain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Mesir dan Turkiye, sama ada perlu untuk mengadakan beberapa pertemuan lain dengan pemimpin negara lain.
“Sesuatu lebih segera harus dilakukan. Barat dan Eropah mengambil sikap kepura-puraan dan hipokrit, keras terhadap Russia dalam isu Ukraine dan mengizinkan kezaliman berterusan,” katanya.
Semasa di Riyadh, Anwar turut dijadualkan untuk mengadakan perbincangan berkaitan pelaburan dengan beberapa firma selain bertemu rakyat Malaysia yang bekerja di Riyadh.
Semalam, Anwar menegaskan Malaysia kini fokus dan komited dalam memastikan bantuan kemanusian dapat disalurkan segera bagi meringankan beban ditanggung rakyat Palestin.
Tegasnya, Malaysia akan melakukan sedaya upaya dengan keupayaan yang terhad bagi penyaluran bantuan kemanusiaan termasuk akan bekerjasama dan menyokong segala usaha ke arah itu memandangkan rakyat Palestin ini berdepan pelbagai kesukaran termasuk kekurangan bekalan makanan dan bantuan perubatan.