Global

Rejim Israel lakukan jenayah perang – Wong Chen

Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa Parlimen, menyifatkan tindakan rejim Israel memotong bekalan keperluan asas seperti air, elektrik dan gas kepada penduduk Gaza sebagai jenayah perang.

Pengerusinya, Wong Chen dalam satu sidang media di Parlimen pada Khamis berkata, pihaknya mengecam jenayah perang yang dilakukan rejim itu terhadap rakyat Palestin.

“Jawatankuasa ini juga mengecam semua bentuk kekejaman dan menggesa permusuhan yang sedang berlaku segera dihentikan.

“Ia adalah selaras dengan Konvensyen Geneva Keempat mengenai perlindungan terhadap orang awam semasa perang,” kata Ahli Parlimen mewakili KEADILAN itu.

Rejim Israel pada 10 Oktober lalu mengenakan kepungan menyeluruh ke atas Semenanjung Gaza, mereka bertindak memutuskan bekalan air elektrik dan gas, selain terus mengebom sasaran di kawasan Palestin yang sesak.

Tindakan itu sebagai tindak balas terhadap serangan mengejut Hamas yang dilancarkan bagi menamatkan pendudukan secara haram kaum Yahudi di bumi Palestin.

Wong sementara itu menegaskan pendirian jawatankuasa itu yang senada dengan kerajaan Malaysia dalam memperakui bahawa Hamas telah dipilih secara demokratik oleh penduduk Gaza.

“Oleh itu, kami memperakui bahawa Hamas mempunyai kuasa yang sah di Gaza,” jelasnya sambil menggesa agar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) diberi mandat menjadi pengantara proses gencatan senjata dan menguruskan pemindahan pelarian secara selamat serta teratur.

Related Articles

Back to top button