Anwar cadang Perkongsian Ekonomi Komprehensif antara ASEAN dan Timur Tengah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melontar cadangan agar Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dimeterai bagi memaksimumkan potensi ekonomi kedua-dua rantau.
Bercakap pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang julung kali diadakan di Riyadh, Arab Saudi pada Jumaat, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata cabaran daripada iklim geopolitik ketika ini memerlukan ASEAN dan Timur Tengah mencipta semula semula kerjasama ekonomi antara sesama mereka.
“Kita perlu mentransformasikan hubungan ASEAN-GCC untuk memaksimumkan potensi gabungan ekonomi dari rantau kita. Malaysia komited untuk melakukannya,” katanya.
Bagi mencapai cita-cita ini, Anwar mencadangkan pembentukan CEPA, Perjanjian Perdagangan Bebas untuk menggerakkan pertumbuhan yang progresif, inklusif dan mampan.
Sidang kemuncak semalam menghimpunkan bersama-sama dua blok utama yang terdiri daripada 10 negara anggota ASEAN dan enam anggota GCC – Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain dan Oman.
Ia dirasmikan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo, yang mengetuai ASEAN pada tahun ini, mempengerusikan bersama sidang kemuncak itu.
Anwar ketika menguls mengenai persidangan itu menyifatkannya sebagai menandakan hubungan kedua-dua rantau itu kini berada di ambang era kerjasama baharu.
Beliau turut berkata, penerimagunaan Kenyataan Bersama sidang kemuncak itu dan Rangka Kerja Kerjasama yang disertakan akan menjadi bukti hubungan kukuh ASEAN-GCC.
“Kepentingan hubungan kita yang semakin matang dan meluas dicerminkan menerusi pelbagai isu seperti yang terkandung dalam dokumen yang diterima pakai,” katanya.