Semasa

Fahmi akui Malaysia kurang pakar keselamatan siber

Malaysia kekurangan kira-kira 12,000 pakar keselamatan siber pelbagai bidang bagi menangani isu serangan siber, kata Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil.

Diwawancara pada program Ruang Bicara bertajuk Pasca Pembentangan Belanjawan 2024 terbitan Bernama TV malam tadi, Fahmi menyifatkan ia sebagai satu cabaran dalam usaha kerajaan memacu agenda pendigitalan di negara ini.

“Ini satu kekurangan yang sangat besar sebab bila kita faham keperluan untuk keselamatan siber dan rata-rata syarikat, terutama yang banyak terlibat dengan ekonomi digital, mereka akan mementingkan isu keselamatan siber dan akan ada keperluan mendesak untuk menubuhkan unit keselamatan siber sendiri.

“Setiap syarikat bergantung kepada saiz, mungkin memerlukan antara 20 hingga 30 orang, dan kalau kita tengok perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai contoh, memang ada keperluan,” katanya dipetik.

Beliau turut menjelaskan, Malaysia memerlukan kira-kira 27,000 pakar keselamatan siber namun ketika ini hanya memiliki 15,000 orang untuk menangani serangan siber.

Menegaskan pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran atau tempoh dalam usaha memenuhi keperluan tenaga pakar keselamatan siber, beliau menaruh keyakinan KKD, menerusi CyberSecurity Malaysia, mempunyai beberapa ikhtiar yang akan dilaksana bagi memantapkan lagi industri itu dalam menangani serangan siber.

“Perkara ini boleh diatasi dengan kerjasama pihak institusi pengajian tinggi awam dan swasta, juga dengan membawa masuk pakar dari luar.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam belanjawan juga ada menyatakan beberapa insentif iaitu sama ada rakyat Malaysia kembali ke tanah air melalui TalentCorp dan warga asing boleh berkhidmat di Malaysia serta beberapa lagi insentif tertentu,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button