‘Perjuangan Anwar untuk Palestin sejak dari zaman muda’- Muslim Imran
Pengarah Pusat Penyelidikan dan Dialog Timur Tengah Asia (Amec) Muslim Imran mendakwa wawancaranya dalam satu program podcast telah dipolitikkan sehingga timbul salah faham.
Merujuk kepada program Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan baru-baru ini, Muslim berkata kenyataannya berkenaan jangkaan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya jawapan kepada soalan dikemukakan dan tidak bermaksud memperkecil usaha Anwar dan kerajaan Malaysia dalam membela rakyat Palestin.
“Saya kenal Anwar sejak bertahun-tahun lalu dan saya tahu dia komited dengan perjuangan Palestin, sepanjang perjalanannya sejak muda bersama Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia) sehingga menjadi perdana menteri.
“Saya percaya dia terus menyokong Palestin. Usahanya dalam beberapa jam lalu amat penting dalam menolak naratif barat dan tekanan barat terhadap masyarakat antarabangsa. Dia bercakap dengan kepimpinan Hamas dan menyatakan solidaritinya dengan perjuangan Palestin,” katanya dalam video yang dimuat naik di Twitter.
Muslim pada program podcast tersebut diminta mengulas berkenaan komitmen Malaysia terhadap Palestin susulan krisis yang berlangsung ketika ini.
Mengulas perkara itu, dia dilapor mendakwa kerajaan sibuk dengan politik domestik sehingga respon diberi kerajaan terhadap krisis itu dianggap ‘bukanlah apa yang Malaysia mampu lakukan’.
Sebagai rekod, kerajaan melalui Kementerian Luar konsisten mengeluar kenyataan mengecam sebarang keganasan rejim Israel terhadap penduduk Palestin.
Dalam insiden terbaharu di Gaza, Anwar membuat gesaan kepada dunia agar memberi tekanan terhadap Israel agar menghentikan pembantaian terhadap warga Palestin, malah telah menghubungi beberapa pemimpin utama termasuk Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bagi membincangkan isu tersebut.
Menerusi panggilan telefon dengan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh, Anwar turut menzahirkan komitmen Malaysia untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan, khususnya makanan dan ubat-ubatan ke Palestin.
Malah kerajaan turut mengumumkan sumbangan RM10 juta sebagai tambahan kepada bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin daripada dana Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).