Negeri

Selangor lancar SelGDX, platform perkongsian data bersepadu rentas agensi

Kerajaan Negeri Selangor mencipta sejarah apabila melancarkan Portal Selangor Government Data Exchange (SelGDX) pada Jumaat.

Dengan pelancaran tersebut, ia menjadikan Selangor sebagai negeri pertama di negara ini yang membangunkan platform tunggal perkongsian data merentas agensi-agensi negeri dan sektor awam di Selangor.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ketika ditemui selepas merasmikan Portal SelGDX itu di Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC 2023) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat berkata, ia dibangunkan dengan penglibatan lebih 70 jabatan dan agensi kerajaan negeri, dengan lebih 30 Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API).

“Kita berharap dengan adanya Portal SelGDX, semua data yang tidak sensitif boleh dikongsikan, dan pengguna boleh mendapat data tersebut tanpa perlu mendaftar kepada jabatan atau mendapat kebenaran daripada mana-mana jabatan,” katanya .

Pelaksanaan portal ini adalah usaha sama Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dengan rakan strategiknya TM One (Unit Penyelesaian Perniagaan, Perusahaan dan Sektor Awam Telekom Malaysia).

Kerjasama itu merangkumi beberapa aspek termasuk mereka bentuk, memasang, membangun, mengintegrasi, menguji, mentauliah, menyelenggara dan memberi khidmat sokongan sepanjang tempohpembangunan projek SelGDX.

Sementara itu menurut Amirudin, portal itu mula beroperasi pada 13 Oktober lalu.

Beliau berharap dengan adanya portal tersebut, ia bukan sahaja memudahkan perkongsian, capaian dan pemprosesan data yang lebih selamat, cepat dan tepat, tetapi juga dapat memupuk penggunaan teknologi dan amalan tadbir urus yang baik, efisien dan telus.

Related Articles

Back to top button