Negeri

Selangor sumbang RM1 Juta ke rakyat Palestin

Kerajaan Selangor bakal menyalurkan RM1 juta ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari melalui satu kenyataan berkata ,bantuan itu di samping bertujuan mengurangkan kedukaan dan kesengsaraan rakyat Palestin diharapkan menjadi sebahagian daripada usaha kolektif masyarakat serta negara di seluruh dunia mengangkat prinsip keadilan serta menentang keganasan.

“Sejak 9 Okt lalu, kesengsaraan yang menjadi angkara rejim yang ingin melenyapkan populasi yang tidak mampu mempertahankan diri serta melanggar undang-undang antarabangsa, tindakan yang korup dari segi prinsip dan moral ini telah menyebabkan sehingga 4,000 nyawa rakyat Palestin terkorban sehingga hari ini.

“Pada ketika ini, seluruh komuniti antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk mengetepikan segala perbezaan, menyokong gencatan serangan dan memberikan laluan supaya bantuan kemanusiaan dapat disegerakan secara selamat ke Semenanjung Gaza kepada mangsa terutamanya wanita, kanak-kanak serta warga emas,” katanya dalam kenyataan.

Tabung AAKRP dibawah selian Kementerian Luar diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini dengan kerajaan menyumbang RM10 juta dana awal tabung itu.

Setakat 12 Oktober lalu, lebih 1,100 penduduk Palestin terbunuh, manakala lebih 338,000 orang di Semenanjung Gaza terpaksa meninggalkan kediaman mereka ekoran beribu-ribu kediaman, institusi awam dan infrastruktur telah dimusnahkan oleh Israel.

Related Articles

Back to top button