Nasional

HPU USIM siap dibina dalam tempoh lima tahun – Menteri

Kompleks Hospital Pengajar Universiti (HPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang akan dibina di Sedili, Kota Tinggi dengan kos RM938 juta bermula tahun depan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, HPU USIM itu akan dibina dalam dua fasa.

“HPU USIM ini memang kerajaan bersetuju untuk laksanakan dan ini kita mencari lokasi yang sesuai dan memilih reka bentuk yang sesuai dengan keadaan tanah di kawasan tersebut.

“Selepas itu, barulah kita akan lantik kontraktor menerusi proses tender, proses ini akan memakan masa dan bukan boleh terus dilaksanakan.

“Pembinaan HPU mengambil masa lima tahun, dengan pembinaan HPU ini, maka lengkapkan ekosistem pengajian perubatan di negara kita kerana semua fakulti perubatan universiti awam akan mempunyai HPU sendiri,” katanya selepas menghadiri Majlis Libat Urus KPT Bersama Media Zon Selatan 2023 di Hotel Renaissance, di Johor Bahru, malam tadi.

Turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Presiden Kelab Media Johor (KMJ), Mohamad Fauzi Ishak.

Menurutnya, pembinaan itu turut memberi ruang kepada pelajar fakulti perubatan khususnya USIM mendapat latihan lebih baik, sistematik dan mempunyai lebih banyak peluang untuk melanjutkan pengajian sebagai doktor pakar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, pemilihan Sedili kerana kesesuaian lokasi yang membolehkan penuntut perubatan universiti terbabit mendapat pendedahan meluas, sekali gus menjalankan penyelidikan terhadap penyakit di kawasan sekeliling.

“Tidak memeranjatkan HPU dibina tidak bersebelahan dengan universiti terbabit, ini sama seperti HPU Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan HPU Universiti Sains Malaysia (USM) yang masing-masing tidak dibina bersebelahan kawasan universiti awam tersebut.

“Contohnya, HPU UIA tidak dibina bersebelahan UIA di Gombak, Selangor sebaliknya di Kuantan, begitu juga HPU USM tidak dibina di bersebelahan USM di Pulau Pinang tetapi di Kota Bharu, Kelantan.

“Di sini nanti kita nak tau apa penyakit dihadapi nelayan, orang Felda dan orang kampung, ini akan tambah pengetahuan,” katanya.

Related Articles

Back to top button