Semasa

KKM serap 2,083 pegawai perubatan ke perjawatan tetap

Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyerap seramai 2,083 lagi pegawai perubatan kontrak ke perjawatan tetap menjelang Disember tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan menterinya, Dr Zaliha Mustafa kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Dewan Seri Perdana ILKKM Sultan Azlan Shah di Ipoh pada Sabtu.

Menurut Dr Zaliha, jumlah itu adalah merupakan sebahagian daripada 12,800 perjawatan tetap diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023.

“Kita telah mendengar bahawa diberikan perjawatan tetap itu 12,800 untuk tiga tahun berturut-turut. Insya-ALLAH dengan kerjasama SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam), kita pula akan uruskan untuk menawarkan pelantikan tetap untuk 2,083 lagi tambahan pegawai perubatan kontrak ke tetap.

“Jadi insya-ALLAH kita jangka untuk mereka melapor diri ke fasiliti kita pada akhir Disember ini,” katanya.

Sementara itu, Zaliha berkata, sehingga 23 September 2023, terdapat seramai 37,058 pegawai kontrak di negara ini manakala kekosongan perjawatan pula sebanyak 31,459.

“Kekosongan perjawatan itu sebenarnya kita telah tampung dengan pegawai-pegawai kontrak.

“Kalau kita kirakan peratusan itu maksudnya 27 peratus daripada kekosongan itu telah pun kita penuhi, itu situasi pada ketika ini,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zaliha turut memaklumkan KKM sedang berusaha mempertingkatkan promosi latihan bagi program lanjutan dan bidang-bidang kepakaran kritikal.

Antara bidang yang kritikal termasuklah geriatrik memandangkan Malaysia sedang menuju ke negara menua.

Related Articles

Back to top button