Global

Lebih 1,600 kanak-kanak terbunuh akibat serangan Israel – DCIP

Sekurang-kurangnya 1,661 kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel dalam pencerobohan berterusan ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu, kata Pertubuhan Pertahanan untuk Kanak-kanak Antarabangsa Palestin (DCIP).

Dalam tempoh sama, 27 kanak-kanak dibunuh rejim zionis di Tebing Barat, dengan purata kira-kira 120 kanak-kanak terbunuh setiap hari, menurut Agensi Berita Palestin (WAFA).

Dalam satu kenyataan DCIP menegaskan bahawa angka kematian, termasuk kanak-kanak di Gaza, tidak rasmi memandangkan terdapat kira-kira 1,400 individu masih hilang di bawah runtuhan bangunan yang musnah menjadikan jumlah sebenar mangsa adalah lebih tinggi.

DCIP menjelaskan bahawa kanak-kanak Palestin yang terselamat daripada pengeboman Israel di seluruh Gaza mengalami krisis kemanusiaan yang teruk.

Trauma psikologi dan emosi yang berlaku sejak 16 tahun lalu lebih memburuk kesan kepungan dan serangan tentera Israel.

Trauma dialami kanak-kanak Gaza melampaui penderitaan peribadi, kata DCIP

“Menyaksikan kematian kanak-kanak lain memburukkan lagi pengalaman pahit, meninggalkan parut yang tidak dapat dihapus untuk kesejahteraan mental mereka. Tambahan pula, kemusnahan keseluruhan keluarga dalam sekelip mata menghancurkan asas isi rumah.

“Kanak-kanak yang sebelum ini menikmati keselamatan dan keselesaan bersama dakapan keluarga, kini yatim piatu,” kata pertubuhan itu. – Bernama

Related Articles

Back to top button