Semasa

Nurul Izzah kutuk sikap berat sebelah White House dalam isu Palestin

Mantan Ahli Parlimen, Nurul Izzah Anwar menggesa dunia mengambil perhatian terhadap kekejaman rejim Israel dan segera bertindak menghentikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Dipetik laporan media, Nurul Izzah bersama Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin (MWCQP) menyatakan pendirian menyokong penuh sebarang usaha menyelesaikan konflik yang semakin berterusan di Palestin.

“Pertubuhan Kesihatan Dunia dan PBB telah mengutuk kekejaman ni. Negara-negara, khususnya Amerika Syarikat, wajib hadap peranan mereka dalam krisis ni.

“Sikap kerajaan Amerika jelas, memberi lesen penerusan kepada jenayah perang Israel. White House pula menyelar ahli politik Amerika Syarikat yang berani mengkiritik kekerasan serang balas Israel,“ katanya.

Nurul Izzah memaklumkan MWCQP telah menghantar nota bantahan terhadap sokonganAmerika Syarikat kepada Israel kepada Kedutaan itu di ibu negara pada Jumaat.

Beliau sementara itu turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk mendengar seruan komuniti dunia bagi menghentikan keganasan yang sedang berlaku terhadap warga Palestin ketika ini.

“Negara seperti UK (United Kingdom), yang terpengaruh dengan Presiden Joe Biden (Presiden Amerika Syarikat), perlu mendengar rayuan dari rakyat Malaysia dan seluruh dunia untuk menghentikan pembunuhan besar-besaran ni. Keadilan adalah asas masyarakat kita,“ tambahnya.

Pada Selasa, ratusan penduduk Palestin terbunuh susulan serangan dilakukan rejim Israel terhadap Hospital Al-Ahli al- Arabi yang dipenuhi pesakit dan penduduk Palestin yang tumpang berteduh.

Pelbagai pihak termasuk Malaysia telah mengutuk serangan yang dianggap zalim dan melanggar konvensyen Geneva itu dan menggesa pembantaian terhadap orang awam segera ditamatkan.

Dalam pada itu, Nurul Izzah merakamkan penghargaan kepada agensi penyiaran antarabangsa, Al Jazeera di atas liputan berita dan meminta media seluruh dunia untuk melaporkan ketidakadilan yang dialami oleh warga Palestin dengan seimbang dan benar.

“Nyawa setiap anak Palestin adalah bernilai,“ katanya, menegaskan seruan untuk cari penyelesaian adil di Palestin.

Related Articles

Back to top button