Global

PM Anwar ke Turkiye dan Mesir, bincang isu bantuan kepada Palestin

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berlepas ke Istanbul, Turkiye untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden, Recep Tayyip Erdogan.

Pesawat khas membawa Perdana Menteri berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid pada jam 6.15 petang (11.15 malam waktu Malaysia) untuk menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul.

Beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Difahamkan pertemuan antara kedua pemimpin itu bagi membincangkan isu berkaitan konflik Palestin dan Israel.

Terdahulu, Anwar berada di Riyadh untuk lawatan kerja ke Arab Saudi termasuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Saudi Aramco Amin H Nasser diikuti dengan beberapa lagi pertemuan dengan kapten industri dan firma Arab Saudi.

Dalam pertemuan bersama Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia, Sheikh Dr. Mohammad Abdul Karim Al-Issa pada Jumaat, kedua-dua pihak turut membangkitkan isu Palestin.

Selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Erdogan, Anwar kemudian dijadualkan ke Kaherah, Mesir pada Ahad untuk bertemu Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.

Difahamkan, pertemuan itu adalah bagi membincangkan mengenai pembukaan laluan sempadan Rafah di antara Mesir dan Genting Gaza, Palestin untuk memudahkan penyaluran bantuan makanan, minuman dan perubatan ke rakyat Palestin yang dibuli rejim Zionis.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua lawatan kerja itu mencerminkan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi mengenai isu Palestin khususnya bagi meringankan penderitaan dan kesengsaraan dialami penduduk Palestin akibat krisis di Semenanjung Gaza yang masih berterusan.

Related Articles

Back to top button