Anwar

PM Anwar sedia terima kunjungan Putera Mahkota Mohammed bin Salman tahun depan

Putera Mahkota Mohammed bin Salman berkenan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada tahun depan, yang selaras dengan persetujuan Arab Saudi dan Malaysia untuk meningkatkan hubungan serta kerjasama ekonomi dan diplomatik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.

Beliau berkata, Putera Mahkota Mohammed menganggap Malaysia sebagai rakan strategik dan bersetuju agar jalur ekonomi dan diplomatik kedua-dua negara diberi tumpuan yang serius.

“Daripada segi ekonomi, baginda bersetuju kerjasama perdagangan dan pelaburan ditingkatkan manakala aspek diplomatik, ia meliputi isu pertahanan dan keselamatan.

“Justeru, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jalur ekonomi manakala Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengetuai jalur diplomatik,” kata Perdana Menteri.

Terdahulu, Putera Mahkota Mohammed yang juga Perdana Menteri Arab Saudi berkenan menerima menghadap Anwar untuk mengadakan pertemuan rasmi empat mata di Istana Al-Yamamah di sini.

Kemudian, Putera Mahkota Mohammed berkenan mengetuai Jemaah Menteri Arab Saudi untuk bertemu delegasi Malaysia yang diketuai Anwar termasuk Tengku Zafrul dan Zambry sebelum mereka dijemput menghadiri majlis santapan bersama baginda.

Anwar berkata Malaysia dan Arab Saudi sepakat agar tumpuan serius diberikan juga kepada kerjasama meningkatkan pelaburan dalam pelbagai bidang merangkumi pendidikan, pelancongan, teknologi maklumat serta teknologi tinggi seperti tenaga hijau di Arab Saudi.

Mengenai Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang berakhir pada Jumaat, Perdana Menteri berkata blok Asia Tenggara menjadi ikhtiar baharu bagi GCC untuk memacu pertumbuhan tinggi di rantau itu.

“Sinergi antara dua rantau itu tanpa campur tangan negara besar akan memberi kita peluang kerjasama dalam beberapa bidang termasuk tenaga hijau yang selaras dengan pelan perindustrian negara,” kata beliau. – Bernama

Related Articles

Back to top button