Semasa

Rafizi Ramli dalam keadaan stabil, jelas Menteri Kesihatan

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang dilapor mengalami serangan jantung baru-baru ini berada dalam keadaan stabil, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Mengesahkan bahawa Rafizi dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Dr Zaliha meminta rakyat Malaysia mendoakan kesihatan Ahli Parlimen Pandan itu.

“Alhamdulillah, dua hari lalu saya dimaklumkan beliau semakin sihat dan insya-Allah tidak lama lagi beliau dapat melaksanakan tugasnya.

“Kita doakan yang terbaik untuk beliau,” jawabnya ringkas pada sidang media selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) Ipoh pada Sabtu.

Difahamkan Rafizi berada di bawah pemerhatian doktor selepas menjalani prosedur pembedahan sten jantung.

Pada Jumaat, Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh menggesa orang ramai mendoakan kesihatan Rafizi.

Beliau turut menyelar sikap segelintir pengguna media sosial yang membawa naratif jahat terhadap masalah kesihatan yang dihadapi Rafizi.

Syed Ibrahim berkata, sekiranya tidak mahu mendoakan atau bersimpati, cukup sekadar berdiam diri.

“Semoga ALLAH beri kelembutan dan kewarasan dalam hati kita semua,” tulisnya menerusi satu hantaran di laman sosial, X.

Related Articles

Back to top button