Sikap Abdul Hadi tak cerminkan akhlak agamawan – Ahmad Farhan
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi melahirkan rasa kecewa dengan sikap ditonjolkan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menurutnya tidak mencerminkan akhlak seorang agamawan.
Kekecewaan itu dinyatakan melalui satu kenyataan susulan kenyataan Abdul Hadi pada Muktamar Pas ke-69 pada Jumaat yang secara sinis mendakwa seolah-olah kerajaan tidak dapat disucikan lagi kerana dikelilingi pemimpin dengan gelaran jelik.
“Saya berpandangan bahawa dalam ketika kita hendak berpolitik, biarlah ia bersifat sederhana dan jangan sampai kita memecah-belahkan umat, melontarkan fitnah dan mengadu domba
“Seorang yang digelar agamawan seharusnya menunjukkan nilai Islam sebenar dengan menguar-uarkan nilai kebersamaan, kesatuan dan kekitaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Justeru Ahmad Farhan berharap, sikap ditunjukkan Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN) itu akan menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk bersederhana dalam berpolitik dan tidak merendahkan pihak yang berbeza ideologi.
Sementara itu, kenyataan jelik Abdul Hadi turut dibidas Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Dalam satu kenyataan, AMK berkata gelaran seperti itu bukanlah kali pertama digunakan oleh pemimpin Pas berkenaan, malah ia telah menjadi antara label yang ‘digemari’ untuk digunakan ke atas Perdana Menteri.
“Sudah tertulis Perdana Menteri kita hari ini adalah antara insan yang diuji dengan tohmahan dan fitnah sehingga terpenjara dalam jalan perjuangannya sebelum diangkat darjat untuk memimpin negara.
“Seharusnya ia jadi pedoman besar buat kita, bukan untuk direndah-rendahkan,” tegas AMK sambil turut menasihati Abdul Hadi agar bermuhasabah dan tidak menggunakan tutur bahasa yang penuh hasad dan dengki.