Parlimen

Akaun Fleksibel KWSP dilancar pada 2024, ganti pengeluaran bersasar – Timbalan Menteri

Kerajaan tidak bercadang melaksanakan sekali lagi pengeluaran bersasar daripada dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata sebaliknya tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk membuka satu lagi akaun kepada pencarum KWSP iaitu Akaun Fleksibel mulai tahun depan.

“Mulai tahun depan, sudah diumumkan dalam Belanjawan 2024 kita akan membuka satu lagi akaun untuk pencarum KWSP. Buat masa ini, akaun KWSP adalah terdiri daripada Akaun I dan Akaun II. Apa yang diumumkan adalah Akaun Fleksibel.

“Kita akan mengumumkan mengenai apa maksud Akaun Fleksibel ini. Akaun III yang mana boleh diakses oleh semua ahli tanpa mengira mereka daripada kumpulan B40, M40 atau T20 pada bila-bila masa, khususnya ketika kecemasan.

“Ini adalah untuk memanfaatkan dan meringankan beban kewangan ketika menghadapi keperluan di luar jangkaan. Sekarang ini sedang dimuktamadkan,” katanya menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad berkata, mekanisme dan peratus dana yang akan dimasukkan dalam Akaun Fleksibel KWSP masih belum diputuskan.

Sebelum ini, pelbagai pihak menuntut kerajaan melaksana sekali lagi pengeluaran bersasar KWSP berikutan kenaikan kos sara hidup susulan peningkatan harga barangan serta kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Menjawab soalan asal Kalam sama ada kerajaan bercadang meningkatkan pelaburan tempatan KWSP, beliau berkata, setakat Jun lalu jumlah keseluruhan pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah sebanyak RM665 bilion.

Katanya, jumlah pelaburan itu dijangka akan meningkat kepada RM700 bilion pada akhir 2023 iaitu peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding 2022.

Manakala, bagi dana KWSP di pasaran domestik, setakat Jun tahun ini, jumlah keseluruhan dana ialah RM665 bilion.

Related Articles

Back to top button